SABAH MEMPUNYAI STATISTIK TINGGI MASALAH KEMURUNGAN: DR LEE

KOTA KINABALU: Sabah merupakan antara negeri di Malaysia mempunyai statistik tinggi masalah kemurungan iaitu 4.0 peratus.

Pakar Psikiatri Hospital Mesra Bukit padang, Dr. Lee Sze Chet berkata, dapatan itu daripada kajian yang dijalankan oleh Health Mobility Survey pada tahun 2019.

Beliau berkata, kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

“Ia berpanjangan sekurang-kurangnya dua minggu dan penyakit ini boleh dihidapi tidak kira umur dan jantina. Kemurungan boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

“Antara punca kemurungan ialah perubahan kimia dalam otak iaitu berlakunya ketidakseimbangan kimia.

“Tanda-tanda kemurungan ialah, tiap-tiap hari sedih, tidak bermotivasi, gangguan tidur, tidur berlebihan, hilang selera makan atau makan berlebihan dan paling merisaukan ialah hilang harapan, perasaan ingin cederakan diri dan tingkah laku bunuh diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Webinar Pengurusan Tekanan, Kegelisahan, dan Kemurungan Semasa Pandemik anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jawatankuasa Kesihatan Kecil MPWS menerusi platform Zoom dan media sosial Facebook pada petang tadi.

Dr.Lee berkata, semasa pandemik Covid-19, berlaku banyak perubahan emosi seperti perasaan bimbang, kegelisahan, kebimbangan, mudah berasa sedih, cepat tersinggung, hilang minat dan kurang motivasi akibat tekanan daripada pelbagai faktor.

“Jika seseorang mempunyai tanda-tanda tersebut secara berlarutan, melebihi dua minggu, sila dapatkan bantuan dan rawatan kerana penyakit kemurungan boleh dirawat dan dielakkan.

“Kemurungan boleh dirawat dengan ubat-ubatan untuk seimbangkan kimia dalam otak, melalui terapi atau kaunseling, senaman dan juga pemakanan seimbang.

“Pakar psikiatri atau psikologi dapat memberi rawatan terbaik menerusi ujian yang dijalankan terhadap pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, Pegawai Psikologi dan Kaunseling Kota Kinabalu, Ellyanti Panis berkata, mereka yang mengalami kemurungan juga boleh berhubung dengan pakar-pakar kesihatan mental menerusi Perkhidmatan Sokongan Kesihatan dan Psiko-sosial (MHPSS).

“MHPSS terdapat di seluruh daerah Sabah. Ianya merupakan satu pasukan yang memberi sokongan bertujuan melindungi atau memperkenalkan kesejahteraan psiko-sosial untuk mencegah serta merawat kecelaruan mental.

“Mereka yang mengalami simptom-simptom kemurungan atau ada dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan yang mengalami simptom seperti yang dinyatakan oleh Dr. Lee bolehlah berhubung terus kepada MHPSS.

“Perkhidmatan ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Kami juga ada talian kecemasan iaitu Hotline MHPSS HQE yang dibuka selama 24 jam,” katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan tersebut menyediakan sesi kaunseling menerusi telefon, menjalankan penilaian simptom, memberi bimbingan atau nasihat dan perkhidmatan kaunseling secara ‘face to face’ jika perlu dan mereka juga membuat rawatan susulan kepada pesakit.

“Jangan risau, segala maklumat akan dirahsiakan dan kami bersedia untuk mendengar keluhan pesakit tanya syarat.

Demonstrasi relaksasi khas untuk menangani tekanan dan Kemurungan turut diadakan dalam webinar tersebut oleh Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, Hospital Queen Elizabeth Sin Nyen Nyau yang dilakukan secara langsung bersama peserta Webinar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Hajjah Tarsiah Tz Hj Taman berkata, Webinar Pengurusan Tekanan, Kegelisahan, dan Kemurungan Semasa Pandemik bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai cara-cara menangani tekanan, kemurungan dan kegelisahan.

“Program ini dipilih kerana kami mendapat tahu banyak kejadian kes-kes seperti tekanan, kegelisahan dan kemurungan serta lebih membimbangkan kes bunuh diri meningkat terutama sekali semasa pandemik Covid-19 yang disebabkan oleh faktor dibuang kerja, gaji dipotong, tiada pekerjaan dan sebagainya.

“Saya berharap perkongsian maklumat dalam webinar dapat mengelak dari terjadinya perkara seperti ini,” katanya.